Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin
KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan pendirian tegas untuk tidak lagi bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata, keputusan itu dibuat kerana UMNO enggan terus menjadi alat politik yang dipergunakan dan dimomokkan dengan janji palsu.
“Cukuplah sekali kita dikhianati. UMNO bukan parti pelengkap yang boleh dibohongi atas nama setiakawan. Yang kami perjuangkan ialah maruah, bukan individu atau parti tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Musliati turut mengimbas peristiwa selepas PRN16 pada September 2020, apabila UMNO Sabah yang menyumbang kepada kemenangan GRS dijanjikan portfolio penting dalam kerajaan negeri, namun dikhianati.
Menurutnya, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijanjikan jawatan Menteri Kerja Raya tetapi akhirnya diberikan portfolio berbeza secara sepihak. Malah, portfolio tambahan yang dijanjikan kepada UMNO juga diberikan kepada pemimpin GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, yang memegang dua portfolio serentak.
“Lebih mengecewakan apabila janji untuk mengembalikan portfolio Kewangan Kedua kepada UMNO hanya tinggal kata-kata manis yang diulang seperti syair lama. Ia tidak pernah ditunaikan,” tegasnya.
Musliati turut mendakwa janji-janji itu digunakan semasa PRU15 untuk meraih sokongan pengundi di beberapa kawasan, namun terus dilupakan selepas pilihan raya.
Beliau turut membidas tindakan menyingkirkan ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak daripada jawatan Pengerusi Qhazanah Sabah selepas mendesak supaya janji tersebut ditunaikan.
“Kita belajar bahawa dalam pentadbiran ini, menyuarakan kebenaran tidak menyelamatkan, sebaliknya dihukum,” katanya.
Menurutnya, walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilihat berperwatakan tenang, beliau tetap tunduk kepada kuasa yang meletakkannya di puncak kepimpinan negeri.
“UMNO-BN telah cukup bersabar dan memberi ruang. Namun kesabaran bukan lesen untuk terus dipijak. Prinsip dan maruah perjuangan kami tidak akan dikompromi lagi,” katanya.
Sehubungan itu, UMNO Sabah menegaskan keputusan muktamad – tiada lagi ruang untuk kerjasama politik dengan GRS atau Gagasan Rakyat dalam PRN akan datang.
