KOTA KINABALU: Pentadbir laman Facebook tempatan White Info mengeluarkan kenyataan keras mengecam dakwaan bekas penganalisis politik, Musli Oli, yang didakwa menyentuh sensitiviti agama berkaitan slogan ‘Sabah for Sabahan’.
Dalam kenyataan lantang yang dimuat naik ke platform media sosial itu, admin White Info menafikan bahawa slogan berkenaan membawa maksud menghina Islam seperti didakwa, sebaliknya menegaskan bahawa ia adalah seruan solidariti rakyat Sabah tanpa mengira kaum atau agama.
“’Sabah for Sabahan’ adalah slogan untuk seluruh rakyat Sabah, bukan merujuk kepada mana-mana bangsa ataupun agama,” ujar kenyataan itu, semalam.
Admin yang juga mengaku beragama Islam, melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Musli Oli yang dianggap berpotensi memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sabah.
“Admin pun beragama Islam juga, tapi tidak pernah terasa dengan slogan itu. Kenyataan Musli Oli yang menyamakan slogan tersebut sebagai penghinaan terhadap Islam sangat tidak bertanggungjawab,” tambahnya.
Kenyataan itu turut melabel dakwaan tersebut sebagai fitnah terhadap masyarakat bukan Islam di Sabah, dan menyifatkan Musli Oli sebagai individu yang bermain api dengan sentimen agama untuk tujuan politik.
“Bila kau sudah mainkan isu agama dengan tujuan pecah-belahkan rakyat Sabah, admin jujur sudah tidak hormat pada manusia seperti ini,” tulisnya lagi.
White Info turut menyelar tindakan yang didakwa bertujuan untuk memecah-belahkan rakyat Sabah demi kepentingan politik tertentu, sambil menyindir kemungkinan langkah politik Musli Oli untuk kembali menyertai UMNO selepas mencetuskan perpecahan.
Kenyataan penuh itu telah mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian besar pengguna media sosial menyatakan sokongan terhadap mesej perpaduan yang dibawa oleh slogan ‘Sabah for Sabahan’, manakala sebahagian yang lain menyeru agar isu ini ditangani secara lebih berhemah dan melalui saluran rasmi.
Sumber: Facebook White Info
