KOTA KINABALU: Perpecahan dan perbalahan berterusan dalam kalangan rakyat dan pemimpin Sabah hanya akan melambatkan kemajuan negeri ini serta mengheret masa depan ke arah ketidaktentuan.
Demikian peringatan Pengarah Institut Kajian Reformasi dan Demokrasi (IKRAR), Azrul Ibrahim yang menyuarakan kebimbangan terhadap situasi politik dan sosial di Sabah yang dilihat semakin rapuh dan memerlukan iltizam politik yang lebih serius.
“Perbalahan dan pergeseran tanpa henti hanya meletakkan masa depan negeri ini dalam ketidaktentuan. Jika kita tidak mampu mengurusnya dengan bijak, perjalanan negeri ini untuk menjadi maju dan berjaya amat jauh lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, bukan sahaja pemimpin, malah rakyat turut memikul tanggungjawab besar untuk menjaga kesatuan dan keharmonian di Sabah.
Beliau percaya bahawa wujud pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada perpecahan tersebut.
“Sedarilah, ada pihak yang tidak mahu melihat kita bersatu kerana kesatuan kita adalah suatu kerugian bagi mereka,” tegasnya.
Azrul yang juga Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang bakal diadakan, Azrul menyifatkan ia sebagai peluang penting untuk mencipta momentum ke arah kestabilan politik dan pentadbiran negeri.
“PRN17 Sabah adalah peluang kita mencipta momentum terbaik. Kesatuan pemimpin dan rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang stabil bukan lagi pilihan, namun suatu KEWAJIPAN,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar semua pihak mengenepikan perbezaan politik yang merugikan dan kembali kepada agenda penyatuan demi kemajuan Sabah yang mampan dan menyeluruh.
“Kita tidak boleh lagi membiarkan kepentingan peribadi atau kelompok mengatasi kepentingan negeri dan rakyat. Sabah hanya boleh maju jika semua pihak bersatu dan bergerak ke arah yang sama,” tambahnya lagi.
