TAWAU: Dua syarikat perlombongan emas di daerah ini, termasuk Wullersdorf Resources Sdn Bhd dan Aumas Berhad, telah diarahkan menghentikan serta-merta semua operasi mereka susulan kejadian kolam takungan pecah di kawasan lombong yang dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya.
Arahan pemberhentian operasi dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) selepas menjalankan pemeriksaan tapak bersama beberapa agensi kerajaan, susulan penularan sebuah video berdurasi 1 minit 23 saat di media sosial yang menunjukkan kerosakan serius pada struktur kolam penahan air.
Menurut sumber, kolam berkenaan dipercayai mengandungi Sodium Cyanide, bahan kimia berbahaya yang lazim digunakan dalam proses pengekstrakan emas.
Kebocoran kolam tersebut telah menyebabkan air tercemar melimpah dan mengalir ke Sungai Kalumpang seterusnya menimbulkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.
Pemeriksaan tapak telah disertai oleh pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Perhutanan, sebagai langkah segera untuk menilai tahap kerosakan dan impaknya.
Difahamkan, larangan operasi akan kekal berkuat kuasa sehingga kedua-dua syarikat membina kemudahan kolam takungan baharu yang menepati piawaian keselamatan.
Bagaimanapun, pembinaan kolam baru dijangka berdepan cabaran besar kerana tiada kawasan sesuai dalam pajakan kecil Wullersdorf Resources Sdn Bhd untuk pembinaan empangan yang mematuhi garis panduan.
Kawasan perlombongan tersebut diketahui dipajak daripada Southsea Gold Sdn Bhd, syarikat yang memegang konsesi keseluruhan tapak lombong.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar dijangka mengumpulkan sampel air dari lokasi kejadian dan kawasan sekitar untuk tujuan analisis pencemaran, bagi menentukan tahap risiko kepada alam sekitar dan komuniti berhampiran.
