KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan menegaskan bahawa slogan ‘Sabah for Sabahans’ bukanlah retorik politik semata-mata, tetapi suatu perjuangan berasaskan kebenaran sejarah, hak perlembagaan, dan martabat rakyat Sabah.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap komen Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan sentimen ‘Sabah for Sabahans’ sebagai sesuatu yang memecahbelahkan dan tidak membawa manfaat.
Dr Jeffrey menolak keras pandangan tersebut, dengan menyatakan bahawa apa yang benar-benar memecahbelahkan ialah sikap angkuh pihak persekutuan yang terus mengabaikan suara dan hak rakyat Sabah.
“Kami tidak perlukan kebenaran daripada pemimpin persekutuan untuk memperjuangkan hak kami. Sabah bukan negeri bawahan, tetapi rakan kongsi setara dalam penubuhan Malaysia pada tahun 1963,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut beliau, sejak tahun 1976, pelbagai hak Sabah telah dinafikan, termasuk pengambilalihan hasil minyak dan gas oleh PETRONAS, pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan kemasukan pendatang asing melalui Projek IC yang telah mengubah landskap politik negeri.
Dr Jeffrey turut membidas penglibatan berlebihan parti-parti politik dari Semenanjung dalam politik Sabah, serta kelemahan pelaksanaan janji Borneonisasi yang menyaksikan ramai penjawat awam di Sabah masih didominasi oleh warga dari Semenanjung.
“Sabah telah dijadikan seolah-olah koloni yang diperah hasilnya tanpa diberikan pembangunan sewajarnya. Kami tidak akan berdiam diri lagi,” tegas beliau.
Beliau turut memberi amaran bahawa masa depan Sabah, sama ada kekal sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia atau mencari haluan baru, bergantung sepenuhnya kepada bagaimana Sabah diperlakukan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sabah bukan koloni Malaya. Kami tidak pernah, dan tidak akan menjadi begitu,” katanya lagi.
Dr Jeffrey menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa kerjasama dengan Putrajaya hanya akan berlaku atas dasar hormat dan kesaksamaan, bukan penindasan atau campur tangan politik yang berterusan.
