
TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia lima tahun ditemui meninggal dunia hari ini setelah dilaporkan hilang selama lima hari di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.
Mayat mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad ditemui tersangkut di tepi sungai sejauh 3 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Mohamad Nor Amit berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai Kes kehilangan itu pada jam 1.52 petang Ahad lalu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kelima, iaitu hari ini dimulakan pada jam 8.35 pagi bersama agensi penyelamat lain dalam radius jarak pencarian di perluaskan.
“Kawasan pencarian merangkumi darat dan air(sungai) dengan Teknik pencarian Standard line double layer.
“Pada jam 12.20, mayat mangsa berjaya ditemui tersangkut di tepi sungai sejauh 3 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Mangsa ditemui oleh pasukan SAR yang melakukan pencarian secara water rafting di sekitar sungai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pasukan Bomba seterusnya membantu mengangkat mangsa dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 petang.