
TAWAU: Seorang lelaki ditahan ketika dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Kampung Titingan, Tawau, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tindak tanduknya yang mencurigakan menarik perhatian anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan, yang kemudian bertindak menghampiri dan menjalankan pemeriksaan terhadapnya kira-kira jam 11.00 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, Polis menemui satu peket plastik lutsinar kecil berisi bahan yang dipercayai dadah dengan anggaran berat 0.11 gram.
Ujarnya, suspek seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an itu, ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine (Met) dan Amphetamine (Amp) dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.