
RANAU: Seorang pendaki, iaitu lelaki warganegara British dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di kilometer 8.2 selepas Checkpoint Sayat-Sayat Gunung Kinabalu pada pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan untuk membantu menurunkan mangsa pada jam 7.17 pagi.
Katanya, seramai empat anggota pasukan MoSAR dari BBP Ranau bersama lima anggota Park SAR, tiga Malim Gunung dan tiga anggota pasukan perubatan dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.15 pagi.
“Lapor terdapat seorang pendaki dilaporkan tidak sedarkan diri di KM8.2 Gunung Kinabalu.
“PBB MoSar bersama Park SAR dan Malim Gunung telah memberi rawatan awal dan seterusnya mengangkat mangsa ke Panalaban Hut.
“Mangsa, 70 tahun telah dibawa turun menuju ke Timpohon Gate dengan menggunakan Robinson Stretcher dan tiba pada jam 5.08 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Setelah memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang.