
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengesahkan bahawa laporan terdapat kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Parti Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah spekulasi semata-mata.
Jelasnya, laporan yang tular itu tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Sabah.
“Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrell Leiking, saya mengesahkan sehingga hari ini tidak ada sebarang perbincangan rasmi atau kesepakatan UMNO Sabah dan Parti Warisan.
“Ingin ditegaskan juga setakat ini UMNO Sabah belum ada keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah.
“Segala laporan yang tular hanyalah spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Sabah,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah Suhaimi lagi, UMNO Sabah kekal fokus dalam memperkukuhkan parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“Dalam menghadapi sebarang kemungkinan, UMNO Sabah telah bersiap siaga dengan strategi tersendiri. UMNO Sabah yakin dengan kepercayaan rakyat dan pengalaman parti dalam menguruskan kebajikan serta pembangunan negeri, UMNO Sabah akan terus menjadi pilihan utama pengundi di seluruh Sabah.
“Sehubungan itu, UMNO Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas. Sebarang keputusan atau pengumuman rasmi akan dibuat melalui saluran yang sah pada masa yang sesuai,” katanya.
Darell, semalam turut membuat penafian terhadap dakwaan bahawa partinya telah mencapai persefahaman pilihan raya dengan BN Sabah seperti tersebar menerusi media sosial baru-baru ini.