
Gambar: Facebook DBKK
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menyita 10 unit khemah milik penjaja tanpa lesen yang menjaja di Taman Perindustrian KKIP, Jalan Sepanggar bermula pada Selasa lalu (11 Februari).
Selain khemah, peralatan penjaja lain turut disita seperti, lapan meja oblong, satu dapur gas, satu tong gas dan satu tong ais merah dalam operasi bersepadu oleh pegawai penguatkuasa DBKK.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 29 anggota terlibat dalam menjayakan operasi bersepadu ini yang terdiri daripada wakil KKIP Sdn. Bhd. dan anggota DBKK daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.
“Semasa operasi dijalankan, telah dikenal pasti masih terdapat penjaja tanpa lesen yang sedang menjalankan aktiviti menjaja di tepi jalan dan di luar kawasan kilang KKIP, walaupun tindakan menghantar notis dan kompaun telah dikeluarkan sebelum ini.
“Turut dikesan terdapat penjaja yang memasang struktur kekal sebagai tempat berjualan, dengan dilengkapi kerusi dan meja selain sampah sarap yang tidak dibersihkan di sekitar kawasan menjaja.
“Susulan itu, Bahagian Pengurusan Lesen Penjaja telah mengeluarkan satu kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja 1966 kepada penjaja atas kesalahan pertama,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Para penjaja turut diberi amaran keras agar tidak menjalankan aktiviti menjaja di kawasan tersebut.