KUANTAN, PAHANG: Seorang wanita tempatan berusia 37 tahun dipercayai dibunuh ketika menjalankan urus niaga secara hantaran (COD) dalam kejadian berhampiran jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan pada kira-kira jam 7.30 malam, Rabu lalu (12 Feb).
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden penemuan mayat seorang wanita pada jam 12.45 tengah hari, kelmarin.
“Pihak polis melalui Pusat Kawalan Daerah (BCC) Ibu Pejabat polis Daerah Kuantan telah menerima satu panggilan daripada seorang lelaki Melayu memaklumkan telah menjumpai mayat seorang wanita di tepi sungai berhampiran jambatan tersebut.
“Bertindak atas maklumat yang diperolehi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan dibantu oleh Unit Forensik IPK Pahang bersama Pakar Patologi Forensik HTAA telah menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati terdapat unsur-unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.
“Mangsa merupakan seorang wanita tempatan yang tinggal di daerah Kuantan serta merupakan seorang peniaga makanan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
ACP Zahari berkata, menurut saksi, mangsa datang ke kawasan tempat kejadian untuk menjalankan COD pada sekitar jam 7.30 malam Rabu lalu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis memohon kerjasama daripada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh mengganggu siasatan dan jila mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan balai polis berhampiran,” jelasnya.
