KOTA KINABALU: Sayap Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah bersedia untuk bergempur dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan menubuhkan jawatankuasa PRN akan datang.
Ketuanya, Datuk Fairuz Renddan memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Pusat di sini, semalam.
“Hari ini juga kita telah membincangkan tentang gerak kerja Pemuda pada tahun 2025 dan juga gerak kerja untuk PRN yang ke-17.
“Jadi hari ini kita sudah tubuhkan jawatankuasa untuk menghadapi PRN akan datang ini dan insyaAllah Pemuda Gagasan Rakyat Pusat siap sedia bertempur pada PRN akan datang,” katanya dalam satu sidang media.
Dalam pada itu, Fairuz turut menyatakan antara fokus Pemuda Gagasan Rakyat kali ini adalah untuk terus menyantuni golongan belia di kawasan bandar dan luar bandar.
“Sudah pastinya Pemuda akan fokus kepada golongan-golongan belia di kawasan bandar dan juga luar bandar.
“Jadi kita akan cuba aktifkan program-program untuk belia dan menyantuni mereka di setiap pelusuk negeri dan banyak program yang kita sudah rancang bagi mendekati belia-belia yang ada di negeri ini,” jelasnya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Pemuda dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, Fairuz memaklumkan, setakat ini kerjasama itu kekal baik dan boleh bergerak bersama pada PRN akan datang.
“Setakat ini kerjasama Pemuda dengan komponen dalam Pemuda GRS, Alhamdulillah tidak ada masalah dan juga komponen daripada PH termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan AMANAH tidak ada masalah, kita boleh bergerak bersama.
“Kita juga ada mengadakan beberapa siri perjumpaan dan Alhamdulillah semua saya lihat kehendak pemimpin-pemimpin muda itu sama untuk negeri ini,” katanya.