KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Wanita Parti STAR yang tular hari ini berkenaan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), ‘Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan mendapat sokongan padu untuk menjadi Ketua Menteri ketika GRS hadapi saat gentir’ hanyalah pandangan bersifat peribadi dan bukan kenyataam rasmi dari parti itu.
Timbalan Ketua Penerangan Parti STAR, Ardino Diris menjelaskan, soal siapa patut diangkat menjadi Ketua Menteri dalam keadaan politik Sabah yang agak goyang tidak patut ditimbulkan.
“Sebaliknya semua pihak harus teguh mempertahankan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Presiden Pari STAR sendiri telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menyokong penuh pimpinan Hajiji ketika ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ardino yang juga Ketua Bahagian Parti STAR Bandau menegaskan bahawa beliau amat yakin Presiden STAR mempunyai pandangan yang jauh untuk kesejahteraan rakyat Sabah.
“Presiden akan terus bekerjasama dengan Ketua Menteri menerajui Kerajaan GRS sehinggalah hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia tercapai dan dipenuhi,” jelasnya.