TAWAU, 19 Disember 2024 – Seorang lelaki dipercayai dikurung dan dianiaya keluarga teman wanitanya dalam satu kejadian yang berlaku di sekitar Kampung Merotai Besar, Tawau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, sebelum iatu kejadian bermula pada selasa lalu apabila mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumahnya telah menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia sedang mengandung.
Menurutnya, mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas dari suspek teman wanitanya kira-kira jam 7.00 pagi keesokkan harinya yang meminta mangsa untuk datang ke rumahnya.
“Sejurus tiba di rumah suspek 3 jam kemudian, mangsa diarah masuk ke dalam bilik dan mendakwa dia telah dikurung oleh bapa wanita tersebut.
“Situasi bertambah tegang apabila dia dipukul dengan kepala tali pinggang serta ditumbuk di bahagian kepala oleh abang kepada teman wanitanya dan mangsa juga turut diancam dengan sebilah pedang samurai,” katanya.
Katanya, wanita tersebut didakwa turut mencederakan mangsa dengan alat seterika panas yang menyebabkan lengan sebelah kiri mangsa melecur.
Menurutnya, mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam.
Sementara itu, bertindak atas maklumat kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan Polis dari Balai Polis Bombalai yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bombalai berjaya memberkas dua suspek lelaki berusia antara 30 tahun dan 64 tahun serta seorang suspek wanita berusia 25 tahun selepas cuba untuk melarikan diri.
Ujarnya, turut dirampas sebuah sterika dan sebuah telefon bimbit serta sebilah pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan semasa kejadian.
Tambahnya, Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat serta menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah.
SUMBER : POLIS DAERAH TAWAU