KAJANG: Misteri bau busuk di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn, akhirnya terjawab apabila mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah bagasi berwarna biru gelap hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 11.45 pagi mengenai penemuan bagasi yang mencurigakan serta berbau busuk.
“Bertindak atas laporan tersebut, pasukan polis, bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9), segera ke lokasi kejadian.
“Mereka menemukan mayat seorang lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri disumbat ke dalam bagasi tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh di satu lokasi lain sebelum disumbat dalam bagasi dan dicampak di kawasan itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat, yang dijadualkan berlangsung pada esok pagi.
Tambah beliau, keadaan mangsa serta tempoh sebenar mangsa dibunuh hanya akan diketahui selepas proses tersebut selesai.
Dalam pada itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut berdepan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Justeru itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar, di talian 012-6114900 atau melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran.