TAWAU: Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah disyaki sarang penagih di Taman Perumahan Jalan Utara Baru.
Polis Tawau dalam satu kenyataan berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Tawau, Inspektor Hamka Ab Rashid.
“Hasil maklumat risikan, dipercayai beberapa orang dewasa sedang melakukan kesalahan jenayah dadah di dalam sebuah rumah yang dikenalpasti sarang penagih dadah.
“Ketika serbuan dibuat, di dapati tiga orang lelaki dan dua orang wanita berada didalam rumah tersebut.
“Pemeriksaan tubuh badan semua suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang salah namun anggota bertugas menjumpai dua paket plastik jernih berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu bersama peralatan menghisap syabu diletakkan di atas meja berhampiran tempat kesemua suspek berkumpul,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Kesemua suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Sekyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati kesemua suspek pernah disabitkan dengan pelbagai jenis kesalahan termasuk rekod jenayah dadah.