KOTA BHARU: Suspek kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor berkata, dia memerlukan tujuh peguam untuk mewakilinya.
Suspek yang berusia 38 tahun itu berkata demikian selepas dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari yang dibuat di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, manakala tempoh remannya berkuat kuasa bermula 16 hingga 22 April ini.
Turut dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 (memiliki kad pengenalan individu lain) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menggunakan nombor plat kenderaan palsu).
Pagi tadi, suspek berbaju lokap warna ungu dibawa dengan kawalan ketat sepasukan polis dari Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.25 pagi.
Kemudian, pada jam 9.45 pagi suspek sekali lagi diiringi pihak polis untuk meninggalkan perkarangan mahkamah selepas selesai proses mengambil reman.
Isnin lalu, suspek ditahan pada jam 3 petang di Jalan Bayam, berhadapan sebuah hospital swasta kira-kira 300 meter dari IPK Kelantan.
Difahamkan turut berlaku pergelutan dalam proses penahanan itu dan sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria berisi sebutir peluru hidup ditemukan.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Ahad lalu, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek mengalami cedera parah apabila tembakan dilepaskan suspek mengenai perut mangsa.
Isteri suspek yang menjadi sasaran sebenar bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu.
Sumber: Sinar Harian