KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik sokongan daripada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman terhadapnya sebagai Ketua Menteri Sabah.
Hajiji berkata, keputusan Suhaili yang menyokongnya itu adalah keputusan peribadi yang perlu dihormati.
“Dia buat keputusan dan itu keputusan peribadi beliau yang kita kena hormati,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.
Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Suhaili yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kepimpinan Ketua Menteri Sabah walaupun beliau masih berada dalam Perikatan Nasional (PN).
“Dia sokong Perdana Menteri dan kepimpinan Ketua Menteri Sabah, tapi dia masih dalam PN. Jadi kita berterima kasih atas sokongan beliau,” ujar Hajiji.
Terdahulu, Suhaili yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wilayah Persekutuan Labuan mengumumkan sokongannya terhadap pimpinan Anwar pada Kerajaan Pusat dan juga Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
Suhaili berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan elektrik di wilayah tersebut.
Dalam kenyataan sama, Suhaili turut menyokong dasar dan inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.