
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan membawa satu usul pindaan kepada perlembagaan parti itu dalam Persidangan Agung Tahunan (PAT) yang julung kali diadakan pada 13 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, persidangan itu akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selama satu hari dengan melibatkan persidangan tiga sayap parti itu, iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda, Beliawanis dan seterusnya persidangan Induk.
“Kita akan bawa satu usul pindaan kepada perlembagaan parti dan pembahas pun sudah kita pilih melalui zon yang akan mewakili 73 Bahagian.
“Kita telah pilih mereka yang berwibawa, mempunyai pengalaman di setiap bahagian untuk membahas ucapan dasar Presiden dan juga usul pindaan perlembagaan,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu pada Jumaat (3 Nov).
Dalam pada itu, Hajiji berkata, jangkaan kehadiran perwakilan dan pemerhati dari seluruh 73 Bahagian termasuk dari Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan itu akan mencecah seramai lebih 2,000 orang.
“Kita anggarkan lebih 2,000 lebih orang akan datang, kalau ada lagi pemerhati lain mungkin lebih dari itu. Jadi persiapan telah pun kita buat dan saya amat berpuas hati,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, Gagasan Rakyat mensasarkan sebanyak 300,000 keahlian parti sehingga hujung tahun ini dengan keahlian semasa, iaitu 236,000 ahli.