PULAU GAYA: Perarakan berlayar atau konvoi oleh 10 buah bot meriahkan ambang sambutan Hari Malaysia di Pulau Gaya sempena dengan Program Kembara Malaysia Madani anjuran Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) bagi peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya semalam.
Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Suhaimi Matshah berkata, konvoi itu telah mengunjungi lebih kurang empat buah kamung untuk pengedaran dan penyerahan jalur gemilang kepada komuniti di pulau itu.
Menerusi kembara itu, Suhaimi berkata, beliau melihat potensi besar pulau tersebut dapat dimajukan seterusnya di angkat menjadi salah satu kawasan pelancongan selain melihat kerjasama dan kesatuan komuniti penduduk di pulau itu.
“Saya nampak ada keunikan di SMK Pulau Gaya dan warga pulau ini saya lihat sangat menyokong dan kerjasama di antara komuniti dengan pihak sekolah sangat hebat seperti yang kita dapat lihat menerusi penganjuran majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan Ke-66 Peringkat Sekolah Menengah di Pulau Gaya semalam.
Sementara itu, Focal Person Kebangsaan PIBKS Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, program itu turut berjaya memupuk semangat perpaduan yang kuat di kalangan komuniti Pulau Gaya bersaam Jabatan Pendidikan.
“Walaupun SMK Pulau Gaya dikategorikan di dalam sekolah luar bandar, tetapi kita tidak juga ketepikan sekolah-sekolah luar bandar untuk dapat menikmati kemerdekaan,” katanya.
Manakala Pengetua SMK Pulau Gaya, Kinit Tagok berkata, lebih 1,000 warga dan komuniti pelbagai latar belakang telah hadir melibatkan diri dalam memeriahkan ambang Sambutan Hari Malaysia di sekolah itu.
“Kami merasa ini satu penghargaan yang tinggi dan satu suntikan yang tinggi juga untuk warga SMK Pulau Gaya. Jadi untuk hari ini kami sangat gembiralah sebab majlis yang begitu meriah dihadiri oleh banyak lapisan masyarakat.
“Semua bersatu hati menunjukkan semangat yang tinggi dan perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat di sini untuk menjayakan program seperti ini,” katanya.