KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menggesa Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB) tidak mengenakan caj ‘melampau’ kepada pengguna di negeri ini.
Presidennya David Chan berkata, Persatuan Pengguna Bijak banyak menerima aduan daripada orang awam khususnya B40 ekoran bil elektrik dikenakan tidak munasabah.
Beliau berkata isu bil elektrik yang ketika ini didakwa melambung tinggi antara keluhan disuarakan masyarakat di media sosial, malah ramai memarahi SESB.
“Cuaca tidak menentu dan kadang-kadang panas berbahang dikatakan punca utama bil elektrik melambung disebabkan penggunaan penyaman udara dalam tempoh lama.
“Kalau ia pun musim panas, penggunaan elektrik dan penyaman udara tetap sama,” jelas David.
Beliau berkata demikian semasa mengulas berita daripada Awani Borneo bahawa sebilangan besar penduduk di Kampung Kulambai Dundau, Kota Belud terkejut menerima bil elektrik mencecah ribuan ringgit.
Justeru, diharap pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu mengambil langkah drastik menangani isu ini dengan lebih tuntas serta mengenalpasti masalah yang berlaku agar masalah yang yang sama tidak berulang lagi.
Ditambah lagi kos sara hidup rakyat hari ini semakin meningkat dan membebankan akhirnya bila timbul isu sebegini sudah tentu rakyat marah dan kecewa.
Menurutnya Persatuan Pengguna Bijak merasa tidak adil kepada penduduk luar bandar jika ada pembaca meter (SESB) yang datang mengenakan caj yang mahal dalam bil elektrik pengguna.
Tegasnya pihak pengurusan SESB perlu bertanggungjawab menyebabkan pengguna kehilangan banyak masa untuk pergi ke pejabat SESB untuk meminta penjelasan kenapa bil elektrik rumah mereka melambung tinggi.
“Saya berharap pihak SESB akan memberi penjelasan, sekurang-kurangnya beri pampasan kepada pengguna yang mengalami kerugian.
“Persatuan Pengguna Bijak menggesa suruhanjaya Tenaga untuk mengesahkan dan mengambil tindakan yang perlu ke atas SESB kerana ia tidak adil kepada pengguna dan kami berharap kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi”, katanya.