KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga merupakan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melancarkan Pertandingan Mencipta Video Kreatif di perkarangan Ibu Pejabat Gagasan Rakyat di Alam Mesra pada Jumaat.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Biro Latihan Gagasan Rakyat adalah pertandingan terbuka kepada warganegara Malaysia di Sabah.
Pengerusi pertandingan itu, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori umur 18 hingga 38 tahun dan kategori 39 tahun ke atas.
Menurutnya, pertandingan itu menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang dengan hadiah keseluruhan bernilai sekitar RM50,000.
Katanya, pemenang johan setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi. Naib johan akan menerima hadiah wang tunai rm5,000 dan trofi.
“Sementara pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM3,000 dan trofi. Selain itu, 5 hadiah istimewa juga akan diberikan yang masing-masing berupa wang tunai RM500 dan trofi,” katanya kepada media selepas pelancaran itu, pada Jumaat.
Abdul Kassim berkata, pertandingan itu bertujuan untuk menggalakkan penduduk di Sabah yang mempunyai minat dalam mencipta video pendek kreatif untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka.
Dengan tema pertandingan, ‘Kita Orang Sabah’, video pendek yang dihasilkan boleh berkisar tentang tradisi dan budaya orang Sabah, kekayaan alam semula jadi di Sabah dan apa juga keadaan yang mempamerkan keindahan negeri Sabah.
Tempoh dan tarikh penyertaan bermula dari 9 September 2023 hingga 8 Disember 2023 dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi nombor 017-8200232 atau email [email protected].
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah, Timbalan Presiden, Datuk Seri Masidi Manjun, Naib-Naib Presiden, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiun Banah serta barisan kempimpinan Gagasan Rakyat Negeri.