KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan kenaikan elaun bulanan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kabinet, Menteri Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Jelasnya, nilai kenaikan elaun itu akan diteliti mengikut laporan daripada Kementerian Kewangan.
“Berapa kenaikan itu terpulang kepada laporan daripada Kementerian Kewangan dan juga Datuk Seri Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Itulah sebabnya Datuk Awang Kadin minta, baru-baru mereka dengar bahawa gaji Ketua Daerah, Ketua Adat, Ketua Anak Negeri dan juga Ketua Kampung dinaikkan, jadi kita kena adil juga kepada penjawat UPPM.
“InsyaAllah kita akan perhalusi cadangan pengarah UPPM tadi supaya kita dapat selasarkan dengan keadaan semasa yang kita hadapi sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat Ketua Menteri Sabah Sempena Hari Keluarga UPPM tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, Hajiji menyeru agar semua kakitangan UPPM memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
“UPPM perlu proaktif dalam perkongsian maklumat dan sumber secara berterusan terutamanya dalam menyelesaikan sesuatu isu di kawasan masing-masing.
“Ini dapat meningkatkan imej dan mutu perkhidmatan di mata masyarakat. Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) perlu menunjukan sikap profesionalisme yang tinggi, berdisiplin dan sentiasa memikirkan perkhidmatan yang baik kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau pada masa sama turut menggesa agar semua PPM bekerjasama rapat dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada akar umbi tanpa mengira ideologi politik.