JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang ibu tunggal bersama rakannya yang berperwatakan seperti lelaki (tomboy) kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dipercayai anak kepada ibu tunggal itu.
Kejadian malang yang menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran di kawasan perumahan sekitar kawasan Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang, Johor menyerbu rumah ibu tunggal itu pada kira-kira pada jam 12 tengah malam, Sabtu (12 Ogos).
Ketua Polis Johor, Datuk CP Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam telah membuat tangkapan ke atas ibu mangsa berusia 27 tahun bersama kenalannya, iaitu wanita warga asing berusia 30 tahun.
“Pihak polis turut merampas dua batang rotan dan kedua-dua tangkapan pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Sementara itu, Kamarul berkata, ibu mangsa kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama enam hari bermula 12 Ogos 2023 hingga 17 Ogos 2023.
“Manakala kenalan ibu mangsa ditahan selama tujuh hari mulai 12 Ogos 2023 hingga 18 Ogos 2023.
“Mangsa pula telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Sumber: Polis Johor