KOTA KINABALU: Gara-gara cemburu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan kapak oleh bekas suami teman wanitanya di kawasan terbuka bulatan bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa 37 tahun mengalami cedera di muka, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, semasa kejadian, mangsa bersama teman wanitanya yang berusia 30 tahun sedang makan dalam kereta berhampiran bangunan PPNS.
“Salah seorang lelaki tersebut telah menyerang mangsa dengan sebilah kapak yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki.
“Mangsa bersama teman wanitanya berjaya menyelematkan diri dan menuju ke balai polis Alamesra untuk membuat laporan.
“Mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan, manakala teman wanitanya tidak mengalami sebarang kecederaan dan motif serangan ini dipercayai akibat rasa cemburu,” katanya dalam satu kenyatan media, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis kini sedang memburu tiga indivdiu dipercayai suspek yang terlibat dalam kes ini dan boleh membantu siasatan.
“Tiga suspek yang dikehendaki adalah, Winhal Jalali, 37 tahun, bangsa suluk yang merupakan bekas suami kepada teman wanita mangsa, Abdel Jalali, 27 tahun, bangsa suluk dan seorang lagi belum dikenalpasti yang merupakan rakan suspek.
“Oleh itu, pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau individu yang dikehendaki, untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, iaitu Insp. Muhammad Khaidir Zakaria di talian 014-8019618,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.