KOTA KINABALU – Selepas tular video seorang kanak-kanak dipercayai didera di sebuah taska Daerah Luyang, muncul satu lagi video yang dipercayai ibu dan bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang bertindak menyerang pengasuh di taska tersebut.
Video itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lanjutan daripada insiden selepas kedua ibu bapa terbabit berang melihat anak mereka dikasari di taska tersebut.
Terdapat dua video memaparkan seorang wanita menampar pengasuh terbabit manakala seorang lelaki bertindak mencekik, menampar dan menumbuk salah seorang wanita dipercayai individu yang memukul anaknya.
Bagaimanapun, seorang lagi pengasuh di taska itu turut menerima nasib yang sama ditumbuk oleh lelaki berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris mengesahkan terdapat dua laporan polis dibuat oleh pihak taska berkenaan.
“Suspek (pengasuh) dan pengetua ada membuat laporan polis dan bapa kanak-kanak terbabit disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan namun tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Terdahulu, Tuhau Bambangan melaporkan tular satu video rakaman CCTV pada Rabu memaparkan seorang wanita di sebuah tadika bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan buku.