KUALA SUAI, SARAWAK: Seorang lelaki dilaporkan telah menyembelih isterinya sehingga mati sebelum mengelar leher sendiri di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Kuala Suai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, pergaduhan dipercayai bermula selepas lelaki itu (suami) menuduh isterinya mempunyai kekasih lain.
Pergaduhan suami isteri warga Indonesia itu berakhir dengan tragedi apabila wanita tersebut mati dipercayai akibat dikelar di leher dengan menggunakan pisau buatan sendiri oleh suaminya.
Salasiah Jamal, 35 tahun berketurunan Bugis dari Makasar ditemui terbaring di bilik tidurnya dengan kecederaan di leher selain luka di tengkuk.
Manakala suaminya, Tompok Nyarak, 39 tahun berada dalam keadaan kritikal selepas mengelar lehernya sendiri.
Difahamkan, kejadian tersebut disedari adik lelaki Salasiah yang terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan kakaknya meminta tolong yang kemudian memeriksa keadaan dan mendapati pasangan itu sudah terbaring sambil berlumuran darah di dalam bilik.
Sementara itu, penyelia ladang sawit, Hendra Jumalang berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan dikejutkan dengan kehadiran adik mangsa yang dikenali sebagai Agus, 21 tahun, datang mengetuk pintu rumahnya.
Sumber: BERITAUP2DATE