SABAK BERNAM, SELANGOR: Peguam mewakili seorang pemuda yang dituduh membunuh wanita hamil di Jalan Sungai Limau di sini memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri.
Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Muhamad Fakrul Aiman Sajali, 20 tahun, mengemukakan permohonan itu ketika sebutan kes berkenaan di hadapan Majistret Siti Hajar, semalam.
Beliau berkata, temu bualnya bersama tertuduh mendapati keadaan mental anak guamnya dilihat tidak stabil.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri, tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan kepada mahkamah.
“Saya serah kepada mahkamah, sama ada beri perintah tersebut di peringkat ini (Mahkamah Majistret), atau memikirkan bahawa ia sesuatu yang sesuai untuk ditentukan di mahkamah perbicaraan (Mahkamah Tinggi), katanya.
Siti Hajar kemudian menetapkan 26 September depan bagi keputusan permohonan itu.
Pada 1 Jun lalu, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh mangsa berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau di sini antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei lepas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan, berlaku perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai menjadi punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam , ditikam, dikelar perut dan dibakar oleh teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau di sini pada 22 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, melaporkan, lelaki itu yang juga bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum memukul kepala dan membunuh mangsa di lokasi sekitar 10 malam.
Sumber: BERNAMA