PUTRAJAYA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersikap terbuka untuk menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang dipecat pada Ahad lalu.
Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai isu pemecatan itu kerana ia membabitkan urusan parti UMNO.
“Saya tidak boleh komen lanjut kerana ia membabitkan urusan parti UMNO, namun jika mereka ingin mohon untuk masuk Gagasan Rakyat, insyaAllah kita akan terima.
“Kalau mereka mahu masuk mana-mana parti, di Sabah ini banyak parti politik, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Ketua Menteri Sabah bersama Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Isnin.
Terdahulu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil tindakan memecat tiga ADUN dari UMNO.
Mereka ialah, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).