KOTA KINABALU: Seorang lelaki menikam isterinya sampai mati di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan Kepayan pada Sabtu lepas (8 April).
Tindakan menikam isteri itu dipercayai berpunca akibat cemburu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa sedang membantu kakaknya berniaga sayur di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.
“Dalam kejadian, suspek tiba-tiba bertindak menikam beberapa kali di bahagian belakang mangsa sebelum melarikan diri. Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian segera memaklumkan kepada pihak polis.
“Mangsa berusia 38 tahun, bekerja sebagai pembantu kedai makanan parah ditikam dalam kejadian 1.30 tengah hari itu dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 2.21 petang,” katanya ketika dihubungi media semalam.
Menurut Kalsom, berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan suspek di Jalan Kepayan pada jam 8.30 malam Sabtu.
“Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.
“Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika kejadian oleh suspek,” jelasnya.
Suspek warga asing berusia 42 tahun itu kemudian direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.