KOTA KINABALU: Usul tambahan ke atas usul ucapan dasar presiden UMNO yang menetapkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak akan dipertandingkan pada sesi pemilihan parti itu yang akan datang adalah sah.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Dalam Negeri melalui satu surat yang memperakui keabsahan usul kelapan tersebut.
“Perkara ini adalah setelah Pengerusi Tetap mengikuti semua peraturan yang telah termaktub di dalam peraturan mesyuarat termasuk perhimpunan agung.
“Begitu juga usul yang telah dibuat itu juga mengikut perlembagaan parti yang menyebut fasal 9:3 dan 9:4 yang ditafsirkan bahawa jawatan semua mesti dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Pengenalan Calon UMNO Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.
Dalam pada itu, Zahid berkata, keabsahan usul tambahan atau usul kelapan UMNO yang diperakui oleh Menteri Dalam Negeri itu selari dengan Akta Pertubuhan 1996 perkara 70 yang memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk menentukan keabsahan peraturan dan perlembagaan parti itu.
“Akta pertubuhan 1966 menyebutkan, tugas ROS adalah untuk menjaga kepentingan ahli mana-mana badan yang berdaftar dengan ROS dan kepentingan ahli itu mengikut sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan,” jelasnya.
Terdahulu, tular satu surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menyatakan usul kelapan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu sebagai tidak sah berdasarkan fasal 9:3 Perlembagaan UMNO itu sendiri.
Walau bagaimanapun, surat ROS itu kemudian disangkal oleh kenyataan media Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengisytiharkan memberi pengecualian terhadap usul tambahan UMNO tersebut sekali gus menyaksikan Seksyen 13 (1), (c), (iv), Akta 832 dikecualikan kepada UMNO.