KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas sebuah kontena berisi daging khinzir yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara dengan anggara nilai RM365,700 termasuk duti dan cukai pelabuhan di pelabuhan Tawau.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kontean yang di bawa masuk itu, diikrar sebagai kentang goreng sebelum berjaya dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.
“Apa yang berlaku ialah, kontena daripada Hong Kong yang ditahan, diikrar hanya mengandungi Potato French Fries, tetapi ada lebih barang daripada itu yang terdiri daripada daging khinzir.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan ke Kaunter Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Selasa.
Sementara itu, pihaknya akan melihat keperluan dari masa ke semasa bagi tujuan penambahan mesin pengimbas pada setiap pelabuhan di negeri itu.
“Kita melihat keperluan dia semasa ke semasa sebab mesin pengimbas itu agak tinggi, satu mesin bernilai RM20 juta.
“Tapi mesin pengimbas di lapangan terbang ini bernilai hanya RM500,000, iaitu pengimbas bagasi penumpang sama ada antarabangsa mahupun domestik,” jelasnya.
Tambah Ahmad Maslan, beliau juga berharap agas usaha meningkatkan kesekapan mesin pengimbas di semua pusat pelabuhan dan lapangan terbang sentiasa dipertingkatkan.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha mengurangkan penyeludupan barang berisiko tinggi diseludup seperti minyak masak, diesel dan petrol.