KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, PBRS akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Sokongan kami masih kekal dan tidak berubah sejak Datuk Seri Hajiji Noor diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran Sabah pada tahun 2020.
“Pendirian ini juga merupakan manifestasi terhadap kecemerlangan kepimpinan beliau khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah terus terjamin,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini terus meningkat.
“Disamping itu, kita juga berusaha untuk memastikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan rakyat Sabah,” tegasnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendukung Kerajaan Perpaduan Sabah di bawah pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri.
Sokongan itu turut diikuti oleh satu kenyataan daripada MCA Sabah bahawa parti itu tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kepimpinan Hajiji.