KOTA KINABALU: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen atas tujuan permohonan dana sebanyak RM150,000 pada 9 tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Sarah Diana Michele Durai, 44 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Perniagaan di WK Consortium Sdn Bhd telah menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Surat Tawaran Kerja-kerja Projek Membersih Kawasan Kem Lok Kawi bagi tempoh kontrak dari 1 April 2014 hingga 1 April 2015.
Pada 21 Mac 2014, tertuduh yang juga pemilik syarikat Kekal Bersama SZ Enterprise telah mengemukakan dokumen tersebut atas nama syarikatnya kepada Pejabat MARA Negeri Sabah bagi tujuan memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress bernilai RM150,000.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Tertuduh yang diwakili peguam Sylvester Kuan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM15,000 yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan selain tertuduh dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah turut memutuskan 12 April 2023 bagi pengurusan kes.