KUALA LUMPUR: Satu mayat yang dipotong keoada enam bahagian ditemui di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi.
Beberapa bahagian badan mangsa telah disumbat ke dalam beg bagasi manakala separuh bahagian badan ditemui di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 11.45 pagi.
“Kami menemui bahagian badan (pinggang ke atas tanpa kepala) di tepi jalan dan menemui satu bagai berhampiran mayat.
“Hasil pemeriksaan dalam bagasi, kami juga menemui serpihan anggota badan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shafa’aton berkata, mayat itu tidak sempurna kerana tidak ada kepala dan kedua-dua tangan dan kaki.
“Identiti mayat dan jantina tidak diketahui secara pasti, mayat tidak lengkap dan tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses selanjutnya.
Sementara itu, berdasarkan maklumat sumber, mayat terbabit tidak mempunyai tanda-tanda suntikan BCG yang berkemungkinan adalah warga asing.
Pihak Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.