KOTA KINABALU: Usahawan dalam dunia pelancongan berharap agar pembentangan Perbelanjaan atau Bajet 2023 akan membawa sinar kepada industri pelancongan dalam usaha membangun semula ekonomi yang beransur pulih selepas pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Sabah, Tonny Chew berkata, sekarang adalah masa untuk membangun industri pelancongan apabila sempadan negara kembali dibuka dan Sabah mahu kembali menjadi negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
Bagi mencapai hasrat ini, pemain industri sangat memerlukan dana kewangan dalam bentuk ‘pakej mesra’, dengan skim bayaran balik untuk aliran tunai yang konsisten.
“Apa gunanya membuka semula sempadan dan pelancong masuk tetapi pemain industri tidak dapat menyediakan perkhidmatan mereka kerana mereka tidak mempunyai dana, contohnya membayar pekerja mereka atau memperbaharui permit dan insurans?” katanya.
Chew berkata, kerajaan perlu menyediakan dana yang besar untuk membantu industri pelancongan dan ia bukanlah satu langkah yang merugikan.
“Seluruh dunia akan mengembara lagi, jadi wang yang dibelanjakan oleh kerajaan pasti akan diperolehi semula. Ia adalah situasi menang-menang untuk kerajaan dan sektor pelancongan.
“Kami tidak menjangka kerajaan hanya memberikan ‘sudu’…tetapi kami memerlukan lebih banyak bantuan untuk kembali ke keadaan sebelumnya.’ jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pengembaraan dan Pengembaran Sabah, Winston Liaw, percaya dengan pemberian insentif dan subsidi kepada pemain industri akan banyak membantu berbanding peruntukan besar untuk promosi pelancongan.
“Kita juga mesti memberi tumpuan kepada pengembara ‘kelas tinggi’ untuk datang ke Sabah terutama untuk perjalanan kesihatan, kebajikan dan pendidikan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan agar meneruskan moratorium pembayaran balik pinjaman selama enam bulan lagi untuk para pemain industri pelancongan dan mendakwa kini hanya 30% daripada mereka di Sabah yang telah pulih.
Jelasnya, masih ramai pemain menghadapi kesukaran walaupun aktiviti pelancongan atau kembara sudah kembali rancak.
“Ini kerana bank menekan pemain industri untuk membayar balik pinjaman dan mereka tidak dapat menampung kerana banyak komitmen lain. Tahun ini sebenarnya jauh lebih sukar berbanding 2020 dan 2021,” katanya.