KOTA KINABALU: Tiba masa bagi negeri Sabah untuk meneliti kawasan-kawasan yang padat penduduk untuk ditambahkan kerusi parlimen bagi kawasan tertentu.
Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, ia mengambil contoh seperti parlimen Sepanggar yang mana penduduknya telah meningkat kepada 107,000 penduduk untuk ditadbir urus.
Jelasnya dengan jumlah itu agak mustahil untuk seorang wakil rakyat mentadbir sesuatu kawasan dengan peruntukan yang terhad.
“Sudah sampai masanya kita perlu meneliti kawasan-kawasan yang agak padat penduduk.
“Contoh, parlimen Sepanggar, sekarang daripada dulu bermula 40,000 naik kepada 60,000, sekarang sudah 107,000.
“107,000 untuk seorang ahli dewan negara atau kita punya wakil rakyat untuk mentadbir sebuah kawasan dengan jumlah penduduk begini adalah mustahil dengan peruntukan-peruntukan yang tertentu sahaja.” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Bola Baling Terbuka Negeri Sabah di Kota Kinabalu.
Tambah beliau, maka sesuai kawasan seperti itu untuk dipecah dua atau ditambahkan kerusi parlimen.
Demikian juga dengan kawasan-kawasan lain agar hasrat dan pentadbiran kerajaan dapat dipermudahkan serta diperluaskan.
Sementara itu, Yakub berkata, bahawa sidang khas berkenaan Anti Lompat Parti telah dibincangkan di kabinet untuk Sabah turut serta dalam Rang Undang-Undang tersebut.
“Saya yakin dan percaya dan berharap wakil-wakil rakyat akan duduk di dalam dewan nanti, dapat memberi sokongan untuk kita menjayakan RUU ini,” jelasnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengesyorkan agar satu sidang khas DUN diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan rakyat serta cadangan penambahan kerusi parlimen Sabah, Sarawak dan isu Lompat Parti.