KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) memainkan peranan menjadi salah satu platform dalam usaha mengasah bakat para belia dalam industri seni.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata bahawa MBS kini sedang dalam rangka menguatkan serta menyokong industri kreatif di Sabah khususnya dalam bidang nyanyian.
“Majlis Belia Sabah ini sendiri antara salah satu platform untuk mencungkil bakat sekaligus membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ini kerana Majlis Belia Sabah memang sedang dalam rangka untuk mempromosikan serta menyokong industri kreatif yang ada di negeri kita.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Idol MBS di Pusat beli belah Center Point, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Sementara itu pengerusi penganjur Leslie Chan berkata penganjuran program itu adalah untuk mencari bakat belia yang ada di seluruh pelusuk negeri Sabah.
Jelasnya, rata-rata peserta yang hadir menyertai uji bakat dan pertandingan itu berasal dari luar bandar seluruh Sabah.
“Peserta-peserta yang hadir menyertai uji bakat ini kebanyakkan dari luar bandar seperti Tuaran, Kota Belud sehingga ke Lahad Datu, Keningau dan lain-lain daerah.
“Jadi ini satu platform untuk mereka sebab mereka ini sebenarnya ada bakat tapi tiada platform untuk mereka mempersembahkan bakat mereka.
“Objektif idea di mana Majlis Belia Sabah patut adakan program Idol MBS ini untuk para belia jadikan sebagai satu tapak permulaan mereka menyerlahkan bakat terpendam dalam bidang nyanyian.” jelasnya kepada pemberita.
Tambah Leslie, seramai 45 peserta telah menghadiri uji bakat pada 3 September lepas dan hanya 15 peserta yang terpilih untuk berentap di pentas bagi merebut kejuaraan Idol MBS siri satu tahun 2022.
Nursyifah Zahirah Mohd Eirwan yang merupakan johan bagi pertandingan itu berkata, bahawa ia berasa amat gembira berjaya memenangi pertandingan itu dan menyarankan kepada MBS untuk mengadakan pertandingan siri kedua bagi memberi peluang kepada rakan-rakan belia khususnya dari usia 16 tahun.
Sylvilina Bily, peserta yang mendapat tempat naib johan berkata, program seumpama ini adalah sesuatu yang sangat baik dan boleh menjadi inspirasi sekaligus memberi impak yang sangat positif kepada para belia.