TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 18 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan tempatan bawah umur dalam satu operasi di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata siasatan dijalankan selepas bapa mangsa membuat laporan polis memaklumkan anak perempuannya yang sebelum itu dilaporkan tidak pulang ke rumah telah ditemui di kawasan Bandar Fajar.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar, dan berlaku hubungan intim antara mereka.
“Susulan maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah melancarkan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan warga asing yang menetap di Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, semakan rekod juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
