LAHAD DATU: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) menerusi penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI), analisis data raya (Big Data), dron dan radar bagi memastikan kestabilan keselamatan yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendekatan itu selaras dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pemodenan sistem keselamatan secara fizikal dan digital.
“Seiring dengan kerangka SMJ 2.0, kita mahu agensi keselamatan memperkasakan penggunaan AI dalam operasi supaya sistem keselamatan kita bukan sahaja kukuh secara fizikal, tetapi juga dari segi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESS Zone di Dewan Perdana di sini pada Rabu.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri komited memperkukuh keupayaan keselamatan menerusi pemodenan aset serta penggunaan teknologi moden bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh dan respons lebih pantas terhadap sebarang ancaman.
Beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, malah menjadi prasyarat utama dalam menarik keyakinan pelabur ke Sabah.
“Tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, keyakinan pelabur akan terjejas, aktiviti ekonomi terbantut dan kesejahteraan rakyat turut terkesan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pembangunan di kawasan ESS Zone akan dilaksanakan secara holistik dengan mengimbangi keperluan keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial.
Ketua Menteri berkata, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0 meliputi industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.
Namun katanya, potensi besar itu hanya dapat direalisasikan sekiranya keselamatan perairan negeri terus diperkukuh tanpa kompromi.
“Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan bertindak sebagai barisan hadapan negara di Borneo serta Laut Sulu.
“Pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri,” katanya.
Dalam konteks Lahad Datu, beliau berkata daerah itu mempunyai potensi ekonomi besar khususnya dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran.
“Namun semua ini hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya persekitaran kekal selamat dan stabil. Pelabur hanya akan datang jika yakin keselamatan perairan kita terjamin,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat.
Beliau menyeru rakyat khususnya di kawasan ESS Zone supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Peranan komuniti amat penting sebagai rakan strategik kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kebajikan anggota keselamatan akan terus dipelihara melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk dari segi kemudahan, perumahan dan logistik.
Katanya, sinergi antara semua pihak akan terus diperkukuh bagi memastikan ESS Zone kekal aman dan terkawal.
Menyentuh Program Lawatan Tinjauan Keselamatan, Hajiji berkata ia menjadi platform untuk menilai kekuatan serta kelemahan sedia ada sebelum merangka penambahbaikan yang lebih berkesan demi keselamatan negeri.
