ISLAMABAD: Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu, dengan laluan strategik Strait of Hormuz dibuka semula bagi membolehkan pergerakan kapal secara selamat, sekali gus meredakan ketegangan konflik yang telah berlarutan hampir 40 hari.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, persetujuan itu dicapai hasil usaha mediasi Islamabad antara kedua-dua pihak yang bertelagah.
“Saya gembira mengumumkan Iran dan AS bersama sekutu mereka telah bersetuju untuk gencatan senjata segera di semua kawasan, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan menerusi platform X.
Menurutnya, rundingan lanjut akan diadakan di Islamabad dalam masa terdekat bagi memuktamadkan perjanjian damai jangka panjang.
Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan bersetuju menangguhkan tindakan ketenteraan terhadap Iran sebagai sebahagian daripada persetujuan gencatan senjata tersebut, yang turut disyaratkan dengan pembukaan semula Selat Hormuz.
Iran pula memberi jaminan bahawa laluan di selat berkenaan akan dibuka secara terkawal selama tempoh dua minggu melalui penyelarasan dengan angkatan tenteranya, bagi memastikan keselamatan perkapalan antarabangsa.
Konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu telah menjejaskan laluan perdagangan global apabila Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, hampir lumpuh akibat ketegangan ketenteraan.
Perang tersebut bermula susulan serangan oleh AS dan Israel ke atas Iran sebelum mencetuskan serangan balas Tehran ke atas negara-negara Teluk dan Israel, termasuk penglibatan kumpulan Hizbollah di Lubnan.
