KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memberi amaran tegas bahawa mana-mana Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) yang menyalahgunakan kuasa atau mengutamakan kepentingan peribadi akan dikenakan tindakan termasuk pemecatan, sambil menegaskan peranan PPM sebagai wakil Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, PPM khususnya yang berkhidmat di kawasan pembangkang memikul tanggungjawab besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan.
“PPM mesti menjaga imej kerajaan. Jangan lakukan perkara demi kepentingan peribadi. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka,” katanya selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Fasa Kedua PPM di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Hajiji turut mengingatkan agar PPM tidak menyalahgunakan kuasa sebaliknya memberi keutamaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan, selari dengan amanah yang dipikul sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Beliau menegaskan PPM perlu memainkan peranan aktif menjelaskan dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada masyarakat setempat bagi memastikan maklumat tepat sampai ke akar umbi.
Pada majlis itu, seramai 35 PPM mengangkat sumpah bagi fasa kedua, kebanyakannya akan ditempatkan di kawasan pembangkang, menjadikan keseluruhan 45 PPM telah mengangkat sumpah selepas majlis fasa pertama pada 13 Januari lalu.
Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet negeri serta Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.
