KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengetuai delegasi negeri menghadiri Permukiman Kerajaan MADANI 2026 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Pembelajaran KWSP Bangi, bermula Sabtu.
Turut menyertai delegasi Sabah ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Arifin Arif.
Permukiman berkenaan dimulakan dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada hari pertama, yang menekankan hala tuju pentadbiran Kerajaan MADANI serta keutamaan dasar nasional.
Pada hari kedua, Hajiji membentangkan kertas perbincangan berkaitan isu-isu semasa dan kepentingan rakyat dari perspektif Sabah, selari dengan agenda pembangunan negeri dan Persekutuan.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Chow Kon Yeow (Pulau Pinang) dan Ab Rauf Yusoh (Melaka); Premier Sarawak Abang Johari Openg; serta Menteri-Menteri Besar termasuk Amiruddin Shari (Selangor), Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Onn Hafiz Ghazi (Johor) dan Saarani Mohamad, selain semua menteri Kabinet Persekutuan.
Permukiman ini menjadi platform penyelarasan dasar dan perkongsian pandangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memperkukuh pelaksanaan agenda MADANI secara bersepadu di seluruh negara.
