TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki merogol anak saudaranya sendiri sehingga mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil, dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 52 tahun selepas mangsa memaklumkan kejadian berkenaan kepadanya.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada di rumah wanita terbabit, sebelum suspek yang juga adik kepada suami pengadu bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke klinik oleh ibu saudaranya untuk pemeriksaan kesihatan dan disahkan hamil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan berkenaan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya menahan suspek berusia lingkungan 40-an di sebuah bilik sewa sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang, kurang 24 jam selepas laporan dibuat.
Jasmin berkata, siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seksual, khususnya yang membabitkan ahli keluarga sendiri.
