TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut, manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Batu 2, Jalan Apas, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.36 pagi itu, motosikal jenis Husky 150 SE ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama dua anak lelakinya berusia sembilan dan 13 tahun dari arah Bandar Tawau menuju ke Pekan Kunak.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sebuah Toyota Hilux dipandu wanita berusia 63 tahun dipercayai bergerak dari Jalan Pantai menghala ke Pasar Sin On.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat Batu 2, lampu isyarat didapati berwarna hijau dan pemandu pikap telah memasuki simpang Jalan Bunga Raya. Secara tiba-tiba, motosikal dari arah bertentangan yang dipercayai ditunggang laju melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, pemandu pikap hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan, melanggar sebuah Proton Saga yang diparkir dan seterusnya merempuh sebuah kedai gunting rambut.
Menurutnya, pembonceng motosikal berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan perut. Seorang lagi pembonceng hanya cedera ringan, sementara pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.
ACP Jasmin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar memperlahankan kenderaan ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat, sentiasa peka terhadap perubahan lampu dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
