Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) secara rasmi bukan lagi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas kedua-dua parti menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) akan datang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan media hari ini selepas Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Pengerusinya merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam (1 Okt).
Dalam mesyuarat tersebut, Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, menyatakan pendirian untuk meletakkan calon masing-masing menggunakan lambang parti sendiri, dan tidak mahu terikat dengan rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Susulan keputusan itu, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk bertanding menggunakan lambang sendiri dianggap telah keluar daripada GRS. Maka, calon-calon STAR dan SAPP tidak lagi mewakili GRS dalam PRN-17,” jelas Masidi.
Masidi berkata, dengan keputusan tersebut, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS tamat secara automatik.
Namun, kedua-dua presiden STAR dan SAPP menghormati pendirian parti komponen lain yang kekal dalam GRS serta menyatakan kesediaan untuk terus menjalinkan kerjasama strategik bersama PH menjelang PRN akan datang.
Tambah Masidi, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), menegaskan semua parti komponen perlu menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH sebelum ini.
“Atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN-17,” tegas Hajiji.
Presiden-presiden komponen lain termasuk PBS, USNO, LDP, PHRS dan PCS turut menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo.
Masidi turut menjelaskan bahawa mesyuarat berlangsung dalam suasana muhibah, telus dan demokratik, dengan semua keputusan dibuat secara musyawarah.
GRS akan terus memperkukuhkan jentera dan strategi bagi menghadapi PRN-17 dengan komitmen penuh terhadap kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah.
