Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR), rakan ketiga terbesar dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), memaklumkan keluar daripada gabungan berkenaan berikutan keputusan GRS untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengesahkan perkara tersebut selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden GRS pada Rabu (1 Oktober).
“Saya hadir mesyuarat itu dan telah maklumkan bahawa STAR keluar daripada GRS. Kami sudah keluar dan akan membuat pengumuman rasmi pada bila-bila masa hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, satu lagi parti komponen, Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee, turut dijangka mengumumkan keputusan keluar daripada gabungan berikutan keputusan mesyuarat Majlis Presiden GRS yang menerima pakatan pilihan raya dengan PH.
Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berlangsung dalam suasana mesra di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya.
Semua lapan presiden parti diberi peluang menyatakan pendirian masing-masing terhadap kerjasama tersebut.
Menurut sumber, Hajiji bersama Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Parti Cinta Sabah (PCS) tidak membantah pakatan dengan PH.
Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin, serta Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, turut menyokong majoriti tetapi menyatakan keutamaan mereka agar GRS bertanding secara solo.
Bagaimanapun, Jeffrey Kitingan dan Yong Teck Lee menegaskan pendirian bahawa GRS seharusnya bertanding secara bersendirian dan jika perlu bekerjasama, PH hanya patut diberikan tujuh kerusi penyandangnya.
GRS dikatakan menawarkan 18 daripada 73 kerusi kepada PH dalam rundingan semasa, manakala PH menuntut antara 21 hingga 23 kerusi.
Mesyuarat tersebut tidak membuat sebarang undian rasmi berhubung pakatan itu dan hanya membincangkannya secara terbuka.
Tiada tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri diumumkan, walaupun penggalnya akan tamat pada 11 November ini.
STAR, yang memiliki enam kerusi DUN, memainkan peranan penting di kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam.
Tindakan parti itu keluar daripada GRS dijangka memberi kesan besar terhadap strategi pilihan raya gabungan tersebut, terutama dalam rundingan pembahagian kerusi dengan PH.
Sehingga kini, GRS belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan ini.
Sumber: The Star
