Kota Kinabalu: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kenyataan atau perbuatan yang berpotensi mengganggu kelancaran prosiding mahkamah, khususnya berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut satu kenyataan rasmi, AGC memandang serius ucapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semasa berucap dalam program “Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan” pada 20 September lalu.
“AGC menilai kenyataan sedemikian boleh menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menjejaskan perjalanan prosiding yang masih berlangsung.
“Jabatan ini sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian selesai,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini
AGC pada masa sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu kelancaran prosiding mahkamah yang masih berjalan.
