Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sabah sehingga jam 10 malam ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada jam 7:10 malam, kawasan yang terlibat termasuklah, kawasan pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau.
Manakala bagi kawasan Pantai Barat melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran.
Selain Sabah, amaran yang sama turut melibatkan beberapa negeri lain termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
MetMalaysia menjelaskan bahawa amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan lebat berintensiti melebihi 20 mm/jam dengan jangkaan berlarutan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam.
Orang ramai khususnya di kawasan terlibat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, mengelakkan aktiviti luar, serta sentiasa peka dengan perkembangan terkini cuaca.
