Kota Kinabalu: Saksi ketiga yang merupakan pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dalam prosiding inkues Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini mengesahkan bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemui pada tubuh sebaliknya mangsa mengalami kecederaan parah konsisten dengan impak kuat akibat jatuhan.
Saksi, iaitu Dr. Janefer Voo, 32, membacakan keterangan bertulis beliau di bawah Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah dalam prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
“Hasil pemeriksaan saya, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit, hanya ada kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang di tangan kiri dan kedua-dua buku lali,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Dr. Voo, beliau menerima pesakit bernama Zara kira-kira jam 4.38 pagi pada 16 Julai 2025, selepas mangsa dilaporkan ditemui di tingkat bawah asrama sekolah sebelum dibawa ke hospital.
Pemeriksaan katanya mendapati Zara berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius, termasuk luka berdarah dan bengkak pada bahagian belakang kepala, patah pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada buku lali kiri serta patah tertutup pada buku lali kanan.
“Hasil pemeriksaan saya, pesakit disyaki mempunyai kecederaan otak yang teruk (severe traumatic brain injury),” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, kod ‘Trauma Alert’ diaktifkan bagi rujukan segera kepada pakar Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara proses resusitasi dilakukan.
Beliau turut memaklumkan, selepas proses resusitasi dan pengimejan dijalankan, Zara didapati mengalami pendarahan pada otak, kepatahan tulang terbuka pada buku lali kiri dan tumit kiri, kepatahan tulang tertutup pada tangan kiri dan kaki kanan, tulang belakang lumbar 2, 3 dan 4 patah, serta terdapat darah beku pada tulang pinggul dan otot psoas kiri.
Prosiding inkues akan bersambung dengan keterangan saksi lain, termasuk Dr. Pavankumar Balachandran, Pegawai Perubatan Jabatan Bedah Saraf HQE, serta dijangka seorang wakil daripada pihak sekolah.
